Wednesday, April 9, 2025

500 Petugas Terengganu di PRK Ayer Kuning

 

Ustaz Abd Muhaimin Malek Calon PAS/PN PRK Ayer Kuning 

Oleh : Rohayati Ripin


KUALA TERENGGANU – Seramai 500 petugas dari Terengganu bertugas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning bukan sekadar misi membantu kempen, malah menjadi medan latihan penting bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.


Pengarah Pilihanraya PAS Terengganu, YB Ariffin Deraman berkata, jumlah petugas ini dijangka terus meningkat menjelang hari pengundian, membuktikan kesungguhan Terengganu dalam membantu kemenangan Perikatan Nasional (PN).


“Kita telah fokuskan beberapa daerah mengundi. Kita tak jaga semua. Kita jaga beberapa daerah dan  mengfokuskan gerak kerja merayu undi dan mencari pengundi PAS pada PRU lalu.


“Apa yang paling penting dalam gerak kerja ini ialah setiap petugas menjalankan tugas dengan penuh amanah, keikhlasan dan mencurahkan sepenuh tenaga serta pengalaman bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PN.


“Kita ada struktur jentera yang tersusun, bermula dari peringkat negeri, kawasan, DUN hingga ke unit daerah mengundi (UDM) yang diketuai oleh pemimpin berpengalaman dan semua ini memastikan operasi berjalan lancar dan terarah,” jelasnya ketika dihubungi pada hari ini.


Pengarah Pilihanraya PAS Terengganu, YB Ariffin Deraman, 

Beliau turut menyatakan bahawa PRK ini berfungsi sebagai ‘training ground’ kepada jentera bagi mengekalkan kesiapsiagaan sepanjang masa, seandainya berlaku pembubaran Parlimen atau pilihan raya negeri secara mengejut.


“Kita yakin rakyat akan membuat pilihan tepat dan calon dipilih adalah individu yang bukan sahaja berpendidikan, tetapi juga mesra rakyat dan telah memberi khidmat kepada masyarakat setempat,” kata Ariffin.


Tambahnya, suasana politik semasa di peringkat pusat menunjukkan hubungan rapuh antara PH dan BN dijangka memberi kelebihan kepada PN untuk meraih sokongan pengundi, termasuk dari kalangan ahli UMNO yang tidak selesa dengan kerjasama tersebut.


 “Insya-Allah, dengan semangat kerja berpasukan, keikhlasan dan strategi yang teratur, rakyat Ayer Kuning akan memberi mandat kepada PN.


“Saya yakin insya Allah rakyat akan beri undi pada PN pada PRK Ayer Kuning,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment