Saturday, April 5, 2025

Asrama Baharu MTT Rayu Sumbangan RM5 Juta

 


Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman merayu sumbangan orang ramai bagi menjayakan projek pembinaan asrama baharu untuk para pelajar.

Mudirnya, Ustaz Muzaihar Kamal Mustapa Kamal berkata, projek yang menelan kos sebanyak RM5 juta, bertujuan menyediakan tempat tinggal lebih selesa dan kondusif bagi para pelajar tahfiz yang semakin bertambah saban tahun.

"Asrama sedia ada kini mengalami kesesakan kerana jumlah pelajar melebihi kapasiti, selain keadaannya yang uzur serta memerlukan pembaikan menyeluruh. 

"Oleh itu, pembinaan asrama baharu ini amat penting bagi memastikan kelangsungan pendidikan para huffaz dalam persekitaran yang lebih selesa dan selamat," jelasnya. ketika dihubungi.

Menurutnya, kerja-kerja asas dan pembinaan 'foundation' telah diselesaikan dalam fasa pertama, manakala fasa kedua yang melibatkan pembinaan tiang konkrit utama sedang giat dijalankan.

"Walaupun projek berjalan lancar, kami masih memerlukan sumbangan untuk memastikan ia dapat disiapkan sepenuhnya mengikut jadual," katanya.

Beliau menambah, sekolah ini juga turut menempatkan pelajar  tahfiz dari kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan menimba ilmu agama dan menghafaz al-Quran di sini.

Justeru itu, beliau menyeru kepada orang ramai yang ingin menyumbang boleh melakukannya menerusi JomPAY (Biller Code: 999748, Reference: DANA ASRAMA) atau melalui akaun Bank Muamalat Malaysia (No. Akaun: 1301 0002 8297 10, Nama Akaun: Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah D.I).

Katanya lagi, sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada pihak maahad melalui talian 014-212 4909 (Cikgu Abdullah), 019-959 7560 (Ustaz Ajmain), atau 018-906 1990 (Ustaz Hamdan).

"Pihak maahad turut menggesa masyarakat untuk menyebarkan maklumat ini agar lebih ramai dapat menyumbang dan membantu merealisasikan impian melahirkan generasi huffaz serta ulama yang berilmu dan berakhlak.

"Keperluan dana Kos pembinaan asrama ini dianggarkan sebanyak RM5 juta, dan kerja-kerja pembinaan telah dimulakan sejak 5 Julai 2023. Sasaran operasi asrama ini adalah pada 1 Januari 2029," tambah Muzaihar.

Oleh itu, beliau amat memerlukan sokongan dan sumbangan daripada masyarakat bagi merealisasikan impian ini.

MTT diasaskan oleh kumpulan kepimpinan PAS terdiri daripada almarhum Ustaz Abu Bakar Cik, almarhum Ustaz Abu Bakar Abdullah, allahyarhamah Cikgu Safinah Jusoh dan Cikgu Raja Endon.




No comments:

Post a Comment