Saturday, November 16, 2024

Lapan Penerima Rumah Sejahtera Tersenyum Lebar



KUALA TERENGGANU -  Seramai lapan penerima rumah di bawah Projek Perumahan Terengganu Sejahtera di Taman Rahmat kini tersenyum lebar selepas mendapat kunci rumah mereka yang diserahkan dalam satu majlis penyerahan khas yang berlangsung 2 November lalu.

Salah seorang penerima rumah, Saudah Mohd Nor, 72 tahun, sangat bersyukur apabila dapat memegang kunci rumah sendiri setelah sekian lama menantikan.

“Alhamdulillah, saya berasa sangat bersyukur dan sejak sekian lama saya menantikan, lebih terharu lagi apabila Menteri Besar sendiri yang datang menyerah kunci rumah.” ujarnya ketika dihubungi

Tambanya lagi, rumah fasa yang ketiga ini antara yang cantik kerana memiliki 3 buah bilik, dapur yang luas serta ruang tamu yang selesa.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu Yang Amat Berhormat Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri untuk membantu golongan berpendapatan rendah di Terengganu memiliki kediaman yang selesa dan mampu milik.


Taman Rahmat dipilih sebagai lokasi strategik bagi projek ini, yang turut menyediakan pelbagai kemudahan asas demi keselesaan dan kesejahteraan penduduk.

Dalam ucapannya, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menzahirkan ucapan tahniah kepada 8 penerima rumah dibawah Projek Perumahan Terengganu Sejahtera.

“Projek Perumahan Terengganu Sejahtera fasa dua dan ketiga ini telah diluluskan oleh Kerajaan negeri pada tahun 2020 dengan peruntukkan sebanyak RM700,000.00.” katanya

Beliau juga berharap kepada penerima rumah agar dapat memelihara dan memanfaatkan kediaman mereka sebaik mungkin sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT.

“Dalam masa yang sama, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang akan membantu bagi menyediakan tikar kepada kesemua penerima rumah supaya dapat mendiami dalam keadaan lebih selesa,” katanya lagi

 




No comments:

Post a Comment