Tuesday, November 19, 2024

Martabatkan Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Rasmi Dalam Perlembagaan.

 


Oleh: Dr. Riduan Mohamad Nor

Apabila Tun Dr. Mahathir melontarkan kekecewaan dan kebimbangan tentang kecacamarbaan bahasa di Lembah Klang, maka dengan pantas mengundang reaksi masyarakat awam. Negarawan itu bingung dengan pemaparan aksara tulisan Cina seolah-olah kita berada di negara lain di Asia Timur. Kuasa politik yang digenggam oleh kelompok chauvinis menjàdikan mereka rakus untuk mengubah tanah air ini.

Tingkah tulen mereka mula kelihatan parallel dengan kekuatan ekonomi yang mereka pegang. Perasaan hormat serta kecintaan kepada tanah pertiwi ini semakin terkuras; ini terlihat dalam isu pemaparan bendera kerajaan Republik komunis China serta penolakan secara halus untuk menggunakan tulisan dalam bahasa kebangsaan.

Bahasa adalah medium dan wahana untuk berkomunikasi dan melebarkan jaringan sosial serta menjadi alat perpaduan negara. Negara India pada suatu masa pernah berlaku kegegeran sosio politik akibat isu bahasa kerana kerencaman etnik negara itu sehingga bahasa Inggeris dipilih menjadi bahasa rasmi. Bahasa Melayu dalam denai sejarahnya, pernah menjadi lingua franca yang dipertuturkan oleh 84 bangsa yang datang berdagang ke Melaka dalam abad ke 15. Bahasa Melayu terus berkembang dan diperkayakan dengan penambahan kosa kata pinjaman daripada pelbagai bahasa dalam dunia.

Para leluhur tanah watan ini dalam membina peradaban dan jati diri negara pasca kemerdekaan, telah berjaya mengangkat martabat bahasa kebangsaan ke dalam artikel 152 Perlembagaan negara. Kini dengan wewenang politikus cauvanis atas nama keterbukaan dan persaingan global telah meremehkan bahasa kebangsaan dengan semudah memetik jari. Bangsa yang gagah berdiri seperti Jepun dan Perancis tetap dengan bangga menjulang bahasa mereka, lantas mengapa kita membiarkan malapetaka ini muncul di negara ini pasca PRU 15? Regim pragmatis sekular negara ini harus sedar, merosakkan kontrak sosial negara ini adalah seperti membakar jerami perpaduan yang dibina lebih enam dekad.

Penulis teringat di antara isu bahasa kebangsaan yang pernah tercetus semasa fasa pertama PH pernah memerintah dahulu ialah tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menggunakan bahasa Mandarin untuk kenyataan rasmi kerajaan. Fenomenal kecuaian kerajaan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan kini berulang. Penjenamaan tempat tinggal serta bandar-bandar baru juga mengabaikan bahasa kebangsaan. Contohnya, KL Eco City, Bangsar South, KL East serta ratusan contoh lain yang menjolok mata. Bayangkanlah nanti jika berjaya dihapuskan kampung-kampung warisan di Lembah Klang seperti  Kampung Bandar Dalam, Kampung Puah, Kampung Chubadak, Kampung Padang Balang dan Kampung Sungai Merali maka hampir pasti akan terhapus jejak nama kampong asal seperti yang berlaku kepada Kampung Kerinchi!

Tindakan meremehkan bahasa kebangsaan termasuk semakin menggebu pemaparan aksara Cina di mana-mana premis perniagaan, pemaparan papan-papan iklan maka boleh mencetus suasana tidak tenang dan selesa dari kalangan rakyat majoriti dan boleh dianggap sebagai usaha merendahkan bahasa kebangsaan negara ini. UEC, sekolah-sekolah vernakular juga antara pemangkin akan terhakisnya semangat patriotik, kecintaan kepada bahasa kebangsaan seterusnya jurang komunal yang semakin menjarak.

Sebagai kerajaan yang mempunyai punca kuasa, seharusnya kerajaan pimpinan DS Anwar Ibrahim memahami sensitiviti rakyat di negara ini. Pengabaian kepada bahasa kebangsaan atas alasan mengalukan pelancong Tanah Besar China boleh menyebabkan persepsi buruk rakyat terhadap kepimpinan kerajaan hari ini.

Sebagai kerajaan yang memerintah, PHBN perlu sedar bahawa Bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan yang menjadi pengikat semua kaum di negara ini. Pemimpin negara dan mesti menunjukkan contoh teladan bagi menyemai perpaduan dan kesatuan rakyat berbilang kaum melalui apa juga cara termasuk menggunakan bahasa Malaysia. Tidak salah untuk menggunakan bahasa Mandarin dalam berkomunikasi, tetapi biarlah dalam bentuk yang tidak formal. Dalam urusan rasmi kerajaan, semua pemimpin mesti menggunakan bahasa rasmi agar mesej dan maksudnya boleh difahami oleh semua bangsa. Jika  menggunakan tiga bahasa sekalipun, Bahasa Malaysia mesti mendahului daripada bahasa lain dalam pertuturan dan penulisan. Dengan demikian, ia adalah usaha mendidik masyarakat terutama bangsa lain agar mengerti dan memahami bahasa kebangsaan negara.

Dalam hal ini, ingin diajukan persoalan kepada kerajaan PHBN sekarang, apakah dasar mereka terhadap Bahasa Malaysia? Apakah Bahasa Malaysia mahu dimartabatkan dan dipertahankan, atau adakah Bahasa Malaysia tidak memberi makna dan kepentingan apa-apa terhadap terhadap dasar kerajaan? Apakah kerana kerajaan PHBN yang ditunjangi oleh pelbagai parti dan berbilang kaum maka Bahasa Malaysia juga sudah tidak dipedulikan kerana mahu meraikan kelainan bangsa yang ada dalam kerajaan PHBN sekarang?

Perdana Menteri mesti menegur semua anggota kabinetnya agar menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dalam apa juga bentuk komunikasi rasmi kerajaan. Jika tidak, jangan salahkan rakyat jika medium komunikasi dalam syarikat, NGO, badan kerajaan malah institusi pendidikan juga akan menggunakan pelbagai bahasa kerana mengikut contoh pemimpin negara sekarang.

Bahasa adalah jiwa bangsa, merosakkan  kelestarian bahasa kebangsaan adalah seperti merabik keharmonian tanah leluhur ini. Penulis mula tertanya-tanya, di manakah peranan Umno dalam isu bahasa kebangsaan? Adakah peranan mereka dalam kerajaan hanya untuk memastikan tengkuk pemimpin utama mereka selamat? Pemuafakatan politik mereka hanya meminggirkan bangsa serta menjadi terompah tandas untuk juak lain memijak kepala kaum pribumi?

(Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS dan Pengerusi LESTARI Pusat)

No comments:

Post a Comment