KUALA TERENGGANU - Kerajaan PAS Terengganu sedang menggerakkan usaha untuk melesenkan semua kolam-kolam dan sangkar-sangkar yang beroperasi secara haram di Darul Iman.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi, Dr Azman Ibrahim berkata operasi terbabit turut melibatkan kawasan Setiu Wetland khususnya di Kampung Gong Batu dan juga di Kampung Fikri.
"Kawasan Setiu Wetland khususnya Laguna Setiu adalah di antara zon pengeluaran akuakultur khususnya air payau yang utama di Negeri Terengganu,
"diantara spesis yang diternak ialah siakap putih siakap merah dan kerapu hibrid yang kalau ikut data jumlah pendapatan setahun kepada para penternak di situ sekitar RM4 juta,"
"satu jumlah pendapatan yang sangat lumayan cuma yang menjadi isu sebelum ini, banyak daripada kolam dan sangkar beroperasi secara haram iaitu tanpa pemilikan ataupun lesen daripada Pejabat Tanah Daerah," terangnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi itu menjelaskan demikian di Persidangan DUN Negeri Terengganu pagi tadi di sini.
Menurutnya, pengoperasian secara haram telah memberi kesan kepada pengusaha - pengusaha diantaranya apabila tidak berdaftar, mereka akan tercicir daripada senarai penyaluran bantuan.
"Diantara bantuan yang kita bagi macam bantuan input, anak benih, peralatan, bantuan makanan ikan, bantuan bencana, bantuan untuk mengembangkan lagi industri penternakan di bawah Skim Bantuan Modal Tani dan beberapa bantuan lain," tambahnya.
Selain itu, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat menambah, mereka juga akan gagal untuk mendapat persijilan kualiti khususnya Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP).
" Kerana hendak dapat persijilan mestilah status tanah ataupun status kolam mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa negeri, jadi bila buat operasi secara haram kita tak dapat buat." katanya.
Menjawab pertanyaan ADUN Permaisuri, Mohd Yusop Majid, kadar kenaikan sewa daripada RM350 kepada RM3500 setahun, katanya, bayaran yang dikenakan ini adalah sebagaimana yang termaktub di bawah Terengganu Land Rule 1966( Peraturan -peraturan Tanah Terengganu 1966).
"Bagi tujuan aktiviti komersial kadarnya ialah tidak kurang daripada RM30 sehingga RM300 bagi setiap
1000 meter persegi iaitu kadar yang dikenakan, bila dilesenkan dia akan melibatkan sejumlah bayaran," jelasnya lagi.
Menurutnya, Koperasi Pembangunan Setiu Wetlands Berhad (KOSWEB) ialah koperasi pejabat Daerah Setiu yang dipengerusikan sendiri oleh tuan Pegawai Daerah Setiu.
" Jadi apa yang dilakukan oleh KOSWEB adalah sebagai pemudah cara bukan KOSWEB yang menentukan kadar kadar tersebut," ujarnya.
No comments:
Post a Comment