Monday, November 18, 2024

Fokus Tingkatkan Pendigitalan dan Kemudahan Untuk Warga Emas Serta OKU

 


Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Terengganu sedang memperhalusi pendekatan terbaik untuk melaksanakan pelbagai inisiatif pendigitalan bagi memastikan kesaksamaan digital dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, terutama golongan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian Dan Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Bin Ab Rahman berkata, sebagai langkah awal, Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) telah diperkenalkan untuk memberi kemudahan akses internet percuma kepada penduduk luar bandar.

“Antara inisiatif yang dirangka adalah menyediakan infrastruktur sokongan warga emas dan OKU (Retrofit dan bangunan baru) dan membangunkan aplikasi pintar untuk warga emas dan OKU,” jelasnya.

Beliau yang juga ADUN Kota Puterberkata demikian ketika menjawab soalan daripada ADUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman pada Mesyuarat ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri  Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurutnya, tempat ini turut menyediakan kemudahan PintarPay, sebuah perkhidmatan pusat sehenti bagi pembayaran bil utiliti, tambah nilai prabayar, dan pelbagai perkhidmatan komunikasi lain. 

“Langkah ini dilihat mampu memudahkan rakyat tanpa perlu berkunjung ke agensi tertentu.

“Antara program-program yang telah dirangka oleh pihak kerajaan negeri untuk memberi pendedahan ke arah pendigitalan terutamanya kepada warga emas dan penduduk di kawasan pedalaman adalah dengan menyediakan Pusat Internet Akses Rakyat (Pintar) kepada rakyat,” katanya.

Selain itu, kerajaan PAS juga aktif mempromosikan aplikasi dan platform digital yang diperkenalkan oleh agensi kerajaan persekutuan, antaranya myUBAT (Kementerian Kesihatan Malaysia) yang mana memudahkan pesakit mendapatkan bekalan ubat susulan dan menyemak temu janji secara dalam talian.

“Public InfoBanjir (Jabatan Pengairan dan Saliran) memberi amaran hujan dan paras air sungai semasa dan eBencana (Jabatan Kerja Raya) menyampaikan maklumat bencana seperti banjir, jalan runtuh, serta menyediakan peta lokasi bencana secara langsung,” tambah beliau.

Melalui pelaksanaan Smart City Komponen Smart Living, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur mesra warga emas dan OKU, selaras dengan Dasar ke-7: Meningkatkan Infrastruktur Sokongan Warga Emas sebagai Persiapan Tahun Penuaan Terengganu.

“Dan strategi ke-10 menyedia dan menambahbaik Infrastruktur Bandar bagi keperluan warga emas dan OKU melalui penerapan IoT,” katanya.

No comments:

Post a Comment