Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Terengganu kini giat melaksanakan pemutihan kawasan perindustrian bagi memastikan lot-lot industri yang tidak aktif dan terbengkalai dapat dimanfaatkan semula serta memajukan kawasan perindustrian Terengganu.
Timbalan Yang DiPertua PAS Besut Hj Mohd NurkhuzainiAb Rahman berkata, proses ini melibatkan penilaian terhadap kawasan-kawasan perindustrian sedia ada termasuk kawasan Perindustrian Pulau Serai, Dungun di mana terdapat 19 lot yang sebelum ini telah diisi sepenuhnya.
“Namun kini terdapat beberapa syarikat yang telah menghentikan pengoperasian disebabkan faktor – faktor ekonomi yang tidak menentu, menyebabkan terdapat beberapa syarikat tidak dapat beroperasi dan keadaan di lot-lot industri yang berkaitan terbengkalai,” jelasnya.
Beliau yang juga Exco kerajaan negeri berkata demikian ketika menjawab soalan pada Mesyuarat ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini.
Sementara itu, pelan Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2023 – 2030 dan Pelan Induk Teknologi Hijau Negeri Terengganu 2030 (PITiH 2030) akan dilancarkan pada bulan hadapan.
“(PITiH) 2024-2030 adalah inisiatif strategik Terengganu untuk menjadi hab pelaburan hijau, dengan tujuan mencapai pembangunan yang lestari dan ekonomi rendah karbon.
“Pelan ini akan memfokuskan kepada enam sektor utama iaitu tenaga, perindustrian, pengangkutan, bangunan, pengurusan sisa, dan air,” ujarnya.
Beliau menambah, manifestasi Kerajaan Negeri bagi mewujudkan Negeri Terengganu sebahagian daripada hab pelaburan terkemuka di Malaysia menjelang tahun 2030 dengan menawarkan peluang.
“Dasar ini menggariskan enam teras utama untuk mencapai sasaran iaitum penambahbaikan ekosistem pelaburan sediada, menaiktaraf kawasan perindustrian sediada dan pembangunan kluster perindustrian baharu serta mewujudkan dasar yang menggalakkan pelaburan dalam penerokaan industri baharu.
“Selain itu, program pemutihan kawasan perindustrian yang tidak dibangun dan dimajukan, meningkatkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan menawarkan insentif jelas serta telus,” tambah beliau.

No comments:
Post a Comment