Monday, November 18, 2024

Lima Fokus Utama Belanjawan 2025

 


Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Lima fokus utama telah digariskan oleh Kerajaan PAS Terengganu dalam Belanjawan 2025 yang bertemakan “Demi Masa Depan Terengganu” menjadi asas penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri terus terpelihara.

Menteri Besar Terengganu, YAB Dato Sri Ir Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tema tersebut mencerminkan komitmen kerajaan untuk menjamin pembangunan holistik demi memenuhi aspirasi rakyat.

“Kelestarian fiskal adalah asas kukuh kepada pembangunan negeri yang mana meliputi usaha mengurus kewangan secara berkesan melalui pengembangan sumber hasil, proses belanjawan telus, peningkatan kecekapan kutipan hasil dan penerokaan model pembiayaan efisien.

“Pembangunan Rantaian Nilai Makanan (Food Value Chain) merangkumi proses meningkatkan hasil pengeluaran komoditi makanan utama, menarik bakat muda, memperkemas penyeliaan tanah dan infrastruktur serta memacu pelaburan dan pembangunan industri agromakanan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Mesyuarat ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri  Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, semalam.


Dalam aspek sosial, Pengukuhan Modal Sosial menjadi tonggak penting dengan pelaksanaan pelbagai program keagamaan, pendidikan, dan pembangunan modal insan. 

Katanya, Kerajaan juga memperkukuh kerjasama dengan NGO bagi menangani isu jenayah dan menyokong institusi kekeluargaan serta meningkatkan kesejahteraan.

“Bagi Pemerkasaan Ekonomi Berdaya Saing (Competitive Economy) mencakupi ikhtiar bagi memajukan perindustrian dan perdagangan, meningkatkan permintaan pasaran serta menerajui pelaburan bernilai tinggi bagi memperkukuh daya saing dan kemakmuran ekonomi jangka Panjang,” ujar Ahmad Samsuri.

Tidak ketinggalan, usaha Pemberdayaan Masyarakat Usahawan dijangka memberi impak besar kepada perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS), yang menjadi tulang belakang ekonomi tempatan.

“Pemberdayaan Masyarakat Usahawan (Entrepreneurial Society)  melingkupi tindakan bagi menyokong pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), mencipta dan mengembangkan peluang  pasaran  serta  membangunkan kemahiran keusahawanan, mendorong inovasi dan pertumbuhan ekonomi melalui penglibatan dalam aktiviti perniagaan,” tambah beliau.

Belanjawan 2025 ini diyakini menjadi pemacu utama dalam menjadikan Terengganu sebuah negeri yang maju, makmur, dan berdaya saing.

No comments:

Post a Comment